SEPTEMBER 2022

Abang Jo Hadiri Malam Inovasi Dan Integriti Tanah & Survei


KUCHING, 18 Sept - Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg semasa menyempurnakan Majlis Perasmian Penutupan Hari Inovasi dan Integriti Tanah dan Survei Sarawak di Sarawak Chamber, Hotel Riverside Majestic malam tadi. 

Majlis indah bersejarah malam tadi telah menyaksikan pemeteraian memorandum untuk tiga kolaborasi strategik.

Antaranya, pemeteraian Memorandum Perjanjian Perkhidmatan Mencetak dan Membekal Kertas Keselamatan bagi Surat Hak Milik Tanah dan Lesen Tanah antara JTS dengan Percetakan Nasional Malaysia Berhad dan Memorandum Persefahaman antara JTS dengan Universiti Teknologi Mara bagi mengadakan Kursus Pra-Perkhidmatan Diploma Perancangan Bandar dan Wilayah.

Turut dimeterai, Memorandum Kerjasama Pelaksanaan Program Sijil Ukur Tanah antara JTS, CENTEXS, Land Surveyors Board Sarawak dan The Association of Consulting Licensed Land Surveyors Sarawak (ACLS).

Program ini merupakan penambahbaikan komprehensif dalam semua aspek JTS yang menjurus kepada penyampaian perkhidmatan yang berkualiti serta menepati kehendak pelanggan dalam industri.

Dalam majlis yang sama, Abang Johari menyampaikan sijil pengiktirafan kecemerlangan pekerja kepada 16 orang pegawai berintegriti, selain menyampaikan anugerah pemenang Kumpulan Inovatif dan Kreatif HIITS 2022 iaitu Montaj Terbaik, Anugerah Inovasi Transformasi Penyampaian Perkhidmatan, Anugerah Inovasi Sosial, Anugerah Inovasi Kelestarian Alam Sekitar, Anugerah Inovasi Transformasi Digital, Anugerah Khas Kepimpinan Inovasi, Pemenang Tempat Ketiga, Naib Johan dan Johan serta Anugerah Pencapaian Khas.

Hadir sama adalah  Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar II dan Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan, Setiausaha Kerajaan Sarawak Dato Sri Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Integriti dan Ombudsman) Dato' Murshid DiRaja Dr Juanda Jaya, wakil Setiausaha Tetap Kementerian Sumber Asli dan Pembangunan Bandar Datu Sajeli Kipli, The Association of Consulting Licensed Land Surveyors Sarawak (ACLS) Datu Sudarsono Osman. 

Sumber dari : Sarawakku